.

Pertemuan yang menghidupkan inspirasi

"Saya akan muncul semula untuk menghasilkan buku-buku komersil..." Itulah ayat yang muncul dalam hati saya ketika memandu untuk pulang ke pejabat selepas temujanji pagi tadi.

Pada jam 10 pagi tadi, saya menghadiri satu temujanji dengan seorang penulis berpengalaman di Larkin Perdana, Johor Bahru untuk perbincangan mengenai gerak kerja projek penerbitan.

Beliau adalah Haji Shapiai Mohd Ramli yang memperkenalkan dirinya sebagai peminat bidang penulisan, guru dan pendidik. Beliau adalah penulis (walaupun tidak mengaku sebagai penulis dalam blognya) sajak, cerpen dan novel.

Selepas berbincang mengenai tugas utama yang dipertanggungjawabkan kepada kami berdua. Kami berborak mengenai penerbitan dan pendekatan baru dalam penghasilan buku. Saya tertarik dengan perkongsian pengalaman dan pengetahuannya mengenai sejarah Melayu yang mencetuskan idea untuk kami menghasilkan sebuah karya kelak.

Saya berasa gembira dapat kenal dan mesra dengan karyawan yang banyak pengalamannya dalam bidang penulisan ini. Saya harap akan mendapat tunjuk ajar daripada beliau. Mari kita baca sedutan puisi karya beliau... memang indah...

Ini bumi tandus simpati
setiap ketika orang mengusung keranda sengketa
telah dikebumikan kemanusiaan itu
telah ditalkinkan hak asasi
telah ditabalkan kemenangan kebatilan

Setiap saat
kita tersesat
di belukar perasaan
di bakar kekecewaan

Ini bunga amarah berkembangan mekar
ini debu-debu angkuh enggan bersimpuh
keberanian tumbang dalam kekalahan menyerah
makna duka tertulis di depan mata. Luka.

Shapiai Muhammad Ramly
Sri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
Berita Harian, Sabtu 18 Julai 2009.

Hendak dijadikan cerita, rakan sepejabat di sebelah meja beliau juga orang sastera. Beliau adalah saudara W.B.Rendra yang terkenal sebagai penghasil cerpen dan novel. Antara karya terkenal adalah Mazhab Cinta yang menghimpunkan 24 buah cerpen beliau yang pernah disiarkan di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Jendela Selatan dan lainnya.

Kami juga sempat berbincang mengenai penghasilan buku kontemporari remaja. Saya berminat untuk bekerjasama dengan beliau. Semoga perbincangan kami akan berjaya menghasilkan buku-buku santapan motivasi berguna untuk masyarakat kita di Malaysia.

p/s: Hari ini saya memang rasa termotivasi untuk kembali prolifik menghasilkan buku komersil. Dah lama tertangguh (lebih kurang setahun) kerana sibuk menghabiskan pengajian di peringkat Sarjana, tugas di pejabat dan penulisan buku akademik.

0 Komen: