.

Jelajah Johor di daerah Kulai Jaya, Pontian dan Johor Bahru

Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana lama tak update blog ni. Sebenarnya agak sibuk kebelakangan ini mengarah program Jelajah Johor di Zon D pada 14 dan 16 November 2009 lepas.

Program itu disertai oleh kawan-kawan daripada skuad selatan Myvi Extreme Club Malaysia, jurufoto, profesional dan mahasiswa yang kini sudah membentuk sebuah komuniti. Memang seronok apabila komuniti ini sudah saling berkenal-kenalan rapat. Perhubungan kami agak mesra macam adik beradik.

Di sepanjang mengarah program itu, ada kalanya saya bergurau dan sesekali terpaksa bertegas. Sama ada secara lisan ataupun tindakan, saya perlu sedikit tegas bagi memastikan program berjalan lancar. Mohon maaf kalau ada yang terasa.

Bukan atas dasar Paranoid, saya yakin terdapat juga beberapa orang yang tidak senang dengan tindakan itu. Ada yang buat-buat tak tahu, ada yang saling berbisik dan menarik muka masam. Ada yang membantu orang lain tetapi tidak mahu membantu saya. Ada juga watak yang naif kerana terlalu asyik berseronok dalam kemeriahan suasana. Namun lebih ramai lagi yang faham dan memberikan kerjasama. Bagi saya, itu semua perkara biasa yang berlaku dalam kelompok manusia. Ada pelbagai watak yang berbeza.

Saya akui, sebagai pemimpin saya perlu korbankan beberapa perkara. Mungkin sampai kepada tahap tidak disukai oleh segelintir kecil kelompok yang dipimpin. Ada kalanya tindakan ataupun arahan tidak disenangi pada ketika itu sahaja. Namun perspektif dan fokus saya ketika itu adalah pencapaian objektif dan matlamat program.

Bahagian yang besar untuk kemaslahatan menyeluruh perlu diutamakan. Ada kalanya secara tidak sengaja terpaksa tidak mengendahkan hal yang kecil termasuk perasaan-perasaan iri hati, sensitif, karenah yang remeh dan sikap nakal urus setia, peserta dan orang kampung.

Seperti dalam keluarga. Tidak semestinya seorang ayah perlu lemah lembut dan manja seperti seorang ibu. Mungkin si ibu memegang watak pemujuk kepada anak-anak. Sementara seorang ayah memegang watak tegas dan garang sehingga sampai ke tahap tidak disukai. Namun apabila hasilnya positif, akhirnya seorang ayah juga disanjungi dan dihormati.

Di samping itu, saya juga sedar bahawa sahnya sebagai seorang pemimpin adalah dengan adanya sokongan daripada pengikut. Ketiadaan pihak yang sama-sama menyertai dan berkerja bersama kita juga meniadakan kewujudan kita sebagai pemimpin.


Bagaimanapun, program itu berjalan lancar dan berjaya dilaksanakan dengan baik semalam. Kerjasama dan sokongan setiap pihak ada sumbangan terbesar terhadap kejayaan tersebut. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk penghulu dan ketua-ketua kampung di kawasan berkenaan.

0 Komen: