.

Masuk Bakul Angkat Sendiri

MENGKRITIK dan ‘kondem’ diri sendiri tidak akan mengubah apa-apa pun. Kurangkan sikap suka merendah-rendahkan diri. Kalau boleh, terimalah diri kita seadanya. Setiap yang Tuhan ciptakan itu cantik dan sempurna. Jangan menghina ciptaan Tuhan pada diri sendiri.

Setiap orang akan berubah dari semasa ke semasa. Setiap kali kita mengkritik dan merendah-rendahkan diri, perubahan itu adalah ke arah yang negatif. Tapi kita tak sedar perubahan tu berlaku ke arah yang tak elok. Bagaimanapun, kalau kita terima dan hargai diri seadanya, perubahan tu pasti ke arah yang lebih positif kerana kita lebih berkeyakinan.

Di kalangan kita, mungkin ada orang yang suka ‘kondem’ diri sendiri. Macam mana tu? Pernah dengar dialog-dialog sebegini tak? Cuba lihat contoh-contoh dialog ataupun bisikan hati yang berbunyi seperti berikut. Buruk sangat bunyinya!

* “Alah, mentang-mentanglah kita ni tak cantikkk…”
* “Yelah… Awak pandai! Kita ni bodoh je!”
* “I tak nak tampilkan diri depan orang ramai. Nanti perbuatan tu memalukan diri I sendiri.”
* “Jijik sangat ke aku ni?!!”
* “Elee… barang kita ni murah je…”
* “Mentang-mentang la aku ni miskin…..”

Kalau kita imbas seketika, dialog-dialog sebegini seperti orang merendah diri. Tapi sebenarnya ia adalah kata-kata menjatuhkan diri sendiri. Mana boleh cakap macam tu. Orang lain pun tak nak cakap begitu pada kita. Merendah diri tu lebih tepat kita fahami sebagai ‘tak sombong’, ‘tak bongkak’ ataupun ‘bukan riak’.

Sayang diri ni datangnya juga dari hati. Hati kita mesti membayangkan yang baik-baik dan indah-indah buat diri. Ungkapkan yang elok-elok pada diri sendiri.

Setiap orang tak pernah suka dikutuk ataupun di’kondem’ oleh orang lain. Katalah misalnya kita dikutuk oleh orang-orang yang kurang senang dengan diri kita. Mungkin kita tak boleh nak halang tindakan orang lain yang tak suka kat kita. Tapi, kalau boleh janganlah sampai diri kita sendiri pula yang memulakannya. Silap-silap, orang lain tak cakap apa-apa pun tentang keburukan kita, tapi kita yang perasan sendiri.

Kalau kita tak suka orang lain ‘kondem’ kita, kenapa pula kita nak kondem diri sendiri? Bukankah itu tak sayang diri namanya. Nak harapkan orang lain, tak semestinya kita boleh dapat kasih sayang tu kecuali pada orang-orang tertentu je. Tapi orang tertentu tu termasuklah diri kita juga.

Chit Chat sebelum ni pernah sebut tentang kuasa minda dan pengaruh ungkapan positif pada diri. Memperbanyakkan saranan positif memang ada kesan secara halus terhadap diri kita. Sebaliknya kata-kata yang buruk tu memang menjatuhkan semangat.

Ada kalanya kita merajuk ataupun terasa hati dengan seseorang. Tetapi itu tidak bermakna kita perlu menjatuhkan diri. Sepatutnya bila kita dibuli dan ditindas oleh pihak lain, tiada yang lebih kuat untuk membela melainkan diri kita sendiri. Kalau kita sendiri pun tak boleh harap, apatah lagi orang lain?

Daripada Chit Chat Remaja mengenai Sayangi Diri

0 Komen: